Saturday, June 25, 2016

Jom Baca Hadith : Hadith 13

Infaklah semoga kita menjadi orang yang selamat pada dugaan harta ketika disoal di akhirat kelak... 

InsyaAllah

Dari Abu Umamah r.a : Rasulullah saw bersabda, “(Allah Azza wa Jalla berfirman) : Wahai anak Adam, sekiranya engkau membelanjakan kelebihan yang ada pada kamu maka itu adalah baik untuk kamu dan jika kamu menahannya maka ia adalah buruk bagi mu.

Dan kamu tidak akan ditempelak (dicela atau dicerca) di atas kadar keperluan yang ada pada kamu. Dan mulakannya (pemberian) itu dengan orang yang bergantung pada mu. Dan tangan di atas adalah lebih baik dari tangan yang di bawah.”

(Hadith Sahih Riwayat Muslim, Imam Ahmad, At-Tirmidzi dan Al-Baihaqi)

Sunday, June 19, 2016

Jom Baca Hadith : Hadith 12

Bismillah...

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Malaikat-malaikat pencatat amalan yang dilakukan di waktu malam dan siang silih berganti mencatat amalan-amalan kamu. Mereka berkumpul di waktu solat Asar dan solat Subuh.

Kemudian malaikat yang bermalam di kalangan mereka naik. Allah bertanya kepada mereka (sedangkan Allah Maha Mengetahui) : ‘Dalam keadaan bagaimanakah kamu meninggalkan hamba-hambaKu?’ Mereka menjawab : ‘Kami meninggalkan mereka dalam keadaan mereka bersolat dan kami telah datang kepada mereka dalam keadaan mereka juga bersolat.”

(Riwayat Imam Malik. Al-Bukhari dan Muslim, Imam Ahmad, Abu ‘Awanah dan Al-Baghowi)

Saturday, June 18, 2016

Jom Baca Hadith : Hadith 11

Bismillah...

Dari ‘Uqbah bin ‘Amir Al-Juhni r.a : Nabi saw bersabda,
“Dua orang lelaki dari kalangan umat ku; salah seorang dari mereka bangun di waktu malam seraya melawan keinginannya untuk terus tidur dan malas beribadat, lalu berwudhuk. Diikat pada tubuhnya (orang yang tidur) beberapa ikatan (oleh syaitan).

Maka apabila beliau berwudhuk dan mewudhukkan kedua-dua tangannya, terlepaslah satu ikatan. Dan apabila dia mewudhukkan wajahnya terlepaslah pula satu ikatan. Apabila mengusap wajahnya, terlepaslah pula satu ikatan. Apabila mengusap kepalanya terlepas lagi satu ikatan dan apabila beliau mewudhukkan kakinya terlepas pula ikatan yang lain.

Maka Allah Azza Wa Jalla berfirman kepada mereka yang berada di sebalik hijab (para malaikat) : ‘Kamu lihatlah kepada hamba-Ku ini. Beliau melawan keinginan (untuk terus tidur dan beribadat) nafsunya, lalu meminta (berdoa selepas solat) dari-Ku. Oleh itu, apa sahaja yang dipinta oleh hamba-Ku maka itulah miliknya (doanya dimakbulkan oleh Allah yang Maha Tinggi).

Thursday, June 16, 2016

Jom Baca Hadith : Hadith 10

Bismillah...

Dari Abdullah bin Mas’ud : Rasulullah saw bersabda,
“Penciptaan salah seorang kamu disempurnakan dalam rahim ibunya sepanjang tempoh beberapa kali (dalam) empat puluh hari. Empat puluh hari yang kedua dalam bentuk segumpal darah kemudian dalam empat puluh hari yang ketiga dalam bentuk segumpal daging.

Kemudian Allah mengutuskan malaikat kepadanya lalu diperintahkan agar menulis untuknya empat kalimah dengan firman-Nya : ‘Tulislah baginya amalannya, ajalnya, rezekinya dan samada celaka atau bahagia.’

Maka demi Dia yang memegang jiwa ku di dalam genggaman-Nya, sesungguhnya (jika) seseorang dari kalangan kamu beramal dengan amalan ahli syurga hinggalah jarak beliau dengan syurga itu hanyalah satu hasta, maka sebagaimana telah dituliskan ketentuannya (sebagai ahli neraka) lalu beramallah beliau dengan amalan ahli neraka, justeru itu beliaupun masuk neraka.

Dan sesungguhnya (jika) seseorang dari kamu beramal dengan amalan ahli neraka hinggalah jarak beliau dengan neraka itu hanyalah sehasta, namun telah ditetapkan ketentuan (takdir) untuknya (sebagai ahli syurga) lalu beliaupun beramal dengan amalan ahli syurga, justeru itu beliaupun masuk syurga.”


(Riwayat Ibnu Majah, Imam Ahmad Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, dan At-Tirmidzi)


Jom Baca Hadith : Hadith 9

Bismillah...

Dari Mahmud bin Labid r.a : Rasulullah saw bersabda,
“Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti atas kamu adalah syirik asghar (syirik kecil).”

Para sahabat bartanya, ‘Ya Rasulullah, apa kah syirik asghar itu?’ Baginda Saw menjawab, “Riya’. Sesungguhnya Allah Tabaaraka wa Ta’ala berfirman pada hari semua amalan-amalan diganjari, 

‘Pergilah kamu kepada orang-orang yang telah kamu perlihatkan amalan-amalan kamu kepada mereka dan lihatlah samada ada balasan di sisi mereka itu (untuk kamu).”

(Sahih, dikeluarkan oleh Imam Ahmad)

Wednesday, June 15, 2016

Jom Baca Hadith : Hadith 8

Bismillah...

Bersyukurlah kerana kita mempunyai nikmat yang paling agung iaitu Islam...

Dari Anas r.a : Nabi saw bersabda,
“Seorang kafir akan ditampilkan ke muka (pengadilan) pada hari kiamat, lalu dikatakan kepadanya; ‘Apa pandangan kamu sekiranya kamu mempunyai emas sepenuh bumi, adakah kamu akan menggunakannya sebagai tebusan (untuk menggantikan azab yang kamu rasai)?” Si kafir itupun berkata, ‘Ya.’

Sabda Rasulullah saw, “Maka dikatakan kepada si kafir itu, ‘Sesungguhnya Aku telah meminta dari kamu suatu yang lebih mudah dari sedemikian itu.’ Yang sedemikian itu adalah Firman Allah Azza wa Jalla (maksudnya) : Sesungguhnya orang-orang kafir dan mati sedangkan mereka tetap dalam kekafirannya, maka tidaklah akan diterima dari seseorang dari mereka emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus diri dengan emas (yang sebanyak) itu.......”

(Surah Ali Imran [3] : 91)
(Sahih, Imam Ahmad. Hadis di dalam kitab Kanzul Ummal)

Sunday, June 12, 2016

Jom BacaHadith : Hadith 7

Bismillah...

Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah saw bersabda,
“Manusia yang awal-awal akan diadili pada hari kiamat adalah seorang lelaki yang telah mati syahid. Lalu lelaki itu dibawa ke muka (pengadilan-pent). Allah SWT telah memperingatkan kepadanya segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepadanya, lantaran itu, lelaki itupun mengakui akan segala nikmat kurniaan Allah SWT tersebut.
(i). Allah SWT bertanya kepadanya (sedangkan Dia Maha Mengetahui): ‘Maka apakah yang telah dikau lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Lelaki itupun menjawab: ‘Aku berperang kerana-Mu sehinggalah aku mati mati syahid.’Allah SWT berfirman: ‘Kamu berdusta. Akan tetapi kamu berperang supaya kamu dipanggil seorang yang berani. Oleh yang demikian, sesungguhnya kamu telah telahpun dipanggil sedemikian.’ Kemudian Allah SWt memerintahkan agar lelaki itu dicampakkan ke dalam api neraka, lalu beliaupun ditarik dengan mukanya ke bawah hinggalah dicampakkan ke dalam api neraka.
(ii). Dan seorang lelaki yang mempelajari ilmu (agama) dan mengajarkannya. Beliau juga membaca Al-Quran (ataupun seorang yang mahir dalam pembacaan Al-Quran). Lelaki itupun dibawa menghadap Allah SWT. Allah SWT memperingatkan segala nikmat yang diberikan kepadanya. Lelaki itu mengakui akan penerimaan semua nikmat tersebut. Allah SWT berfirman kepadanya : ‘Oleh itu, apakah yang telah kamu lakukan dengannya?’ Lelaki itupun menjawab : ‘Aku telah mempelajari ilmu dan mengajarkannya (kepada orang lain). Aku telah membaca Al-Quran semata-mata kerana-Mu.’ Allah SWT berfirman kepadanya : ‘Kamu berdusta. Akan tetapi kamu telah mempelajari ilmu supaya kamu dipanggil sebagai seorang ‘alim dan kamu telah membaca Al-Quran supaya dipanggil seorang qari. Sesungguhnya kamu telahpun dipanggil sedemikian. Kemudian Allah SWT telah memerintahkan kepada malaikat agar lelaki itu dibawa pergi dan diheret dengan mukanya ke bawah hinggalah beliau dicampakkan ke dalam api neraka.
(iii). Begitu juga seorang lelaki yang telah diperluaskan oleh Allah SWT untuknya segala jenis harta kesemuanya. Lelaki itu pun dihadapkan ke muka. Allah SWt memperingatkan segala nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada lelaki tersebut lalu lelaki itu mengakuinya.
Allah berfirman kepada lelaki itu : ‘Maka apakah yang telah kamu lakukan dengan kesemua harta itu?’ Lelaki itu menjawab : ‘Tidaklah aku tinggalkan walaupun satu jalan yang disukai agar dibelanjakan harta untuknya melainkan aku telah membelanjakan hartaku semata-mata kerana-Mu.’ Allah berfirman : ‘Kamu berdusta. Akan tetapi kamu telah melakukan semua itu agar kamu dipanggil seorang dermawan. Sesungguhnya kamu telahpun dipanggil sedemikian. Kemudian diperintahkan agar lelaki itu dibawa pergi lalu beliau ditarik dengan mukanya ke bawah dan kemudian dicampakkan ke dalam api neraka.”
(Sahih, Muslim, Ahmad, An-Nasa’i dan Al-Hakim)


Jom Baca Hadith : Hadith 6

Bismillah...

Daripada Ka‘ab bin ‘Iyadh RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya bagi setiap umatku ada ujian. Ujian ke atas umatku ialah harta benda”.

(Hadith Riwayat at-Tirmizi, katanya : Hadith ini Hasan lagi Sahih)

Saturday, June 11, 2016

Jom Baca Hadith : Hadith 5

Bismillah...

Dari Abu Hurairah r.a Rasulullah saw bersabda,
“Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus.

(1). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta.

(2). Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat.

(3). Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan ‘Ruwaibidhoh’.”Sahabat bertanya, ‘Apakah Ruwaibidhoh itu hai Rasulullah?’ Nabi saw menjawab, “Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai.”

(Riwayat Ibnu Majah)

Friday, June 10, 2016

Jom Baca Hadith : Hadith 4

Bismillah...

Dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a Rasulullah saw bersabda,
“Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.”Sahabat bertanya, ‘Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?’ Nabi saw menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka.”

Riwayat Muslim

Saturday, June 4, 2016

Selamat Berpuasa & Menyambut Ramadhan

Assalamualaikum
Salam Ramadhan..salam penuh keberkatan
Semoga kita semua sentiasa berada di bawah lindungan rahmat-Nya


Tahun ini rasanya paling ramai kenalan mewarwarkan kegembiraan menyambut Ramadhan... semoga kegembiraan tersebut dapat "ditajallikan" dalam bentuk ibadah dan penghayatan Ramadhan yang sempurna apabila masuknya Ramadhan nanti... Di harap selepas ini kira semua dapat

1) Istiqamah dari mula sampai ke akhir berqiamulail dan beribadah semampu yang boleh sepanjang bulan Puasa...

2) Menjaga akhlak dan perbuatan kita seperti kita benar-benar dambakan keampunan daripada Allah...

Ramai di antara kita menghitung Ramadhan sejak dari bulan Rejab lagi... Mengingati kita setiap hari dengan "countdown" Ramadhan sejak dari 100 hari sebelum ketibaanya... Semoga masuknya Ramadhan nanti kita dapat menterjemahkan dengan baik ketidaksabaran kita menyambut bulan yang penuh Barakah ini...

Hadith Riwayah Abi Said Al-Qudri r.a.
Sabda Nabi s.a.w
Mana2 org yg berpuasa kerana Allah s.w.t nescaya satu hari yg dia berpuasa kerana Allah itu, menyebabkan Allah jauhkan mukanya drpd neraka sejauh (selama) 70 tahun.

Selamat Berpuasa Dari Kami Sekeluarga
Kami pasti pernah membuat kesilapan dan dosa,
Kami memohon seribu keampunan,
-FB : Rasyadan Farahiyah-